Thursday 6 August 2009

adikku tokey kerepek...


pada suatu petang, sedang aku berbaring-baring merehatkan diri, aku mendapat satu panggilan telefon dari abah.


setelah bertanya khabar, abah memberitahu ingin menyampaikan satu perkara...


aku menjadi berdebar, apakah perkara yang ingin disampaikan setelah aku terkesan kegugupan di suara abah...


dengan tergugup-gugup, abah memberitahu adikku yang menuntut di UiTM Arau telah menerima slip keputusan peperiksaan.


sudah tentu aku tidak sabar kerana aku selalu memikirkan kesesuaian adik dengan kos Diploma Perladangan yang diambil. walaupun dapat kulihat adik seronok dan serasi dengan kos tersebut, tapi aku masih tidak dapat menghilangkan kerisauanku dan selalu juga menelefon bertanya khabar..


namun bergenang airmata sejurus diberitahu status DIBERHENTIKAN yang tertera dalam slip tersebut.


buat pertama kalinya aku tahu adik menangis, menangis di atas kegagalannya...


abah masih mampu ketawa dan bergurau dalam melahirkan kekesalannya terhadap keputusan tersebut, namun aku tahu sesungguhnya abah merasa amat kecewa, malu , terkilan dan juga sedih seperti aku...


dan aku terus-terusan menangis setelah talian dimatikan...ku telefon suamiku dalam keadaan tersedu-sedu...perasaan sedih yang teramat sangat...


aku tahu adik amat meminati kos tersebut, suasana pembelajaran, kawan-kawan, aktiviti-aktiviti yang dijalankan, tetapi aku tidak tahu di manakah sumbangnya langkah, adik tersungkur...


pulang semulake kampung, adik nekad tidak mahu lagi meneruskan pengajiannya walau di mana-mana...


tapi, pekerjaan apakah yang mampu dilakukan jika ilmu tiada di dalam dada???


setelah mendapat rakan kongsi, sepupu kami, adik memulakan langkahnya...


segala-galanya tercatat seperti keratan akhbar di bawah...



www.sinarharian.com/ akhbar SINAR HARIAN/ 06 OGOS 2009/ m/s 17



Lambang kegigihan dua saudara


“Dengan hasrat mahu berbakti, saya dengan sepupu, Mahalil Shuriddin, 19, menubuhkan Feez Food Industries, memasarkan pelbagai kerepek dan biskut yang dihasilkan penduduk kampung ini dan mengambil mereka sebagai pekerja.” Begitulah kata-kata pembuka bicara, Mohammad Fiqri Jalaluddin, 21, ketika ditanya bagaimana beliau memulakan perniagaan sebagai pengeluar dan pemborong makanan ringan di Lot 846, Jalan Masjid, Kanchong Darat, Banting.


Menariknya, kedua-dua anak muda ini mengendalikan perniagaan tanpa sebarang pengalaman dalam bidang keusahawanan. Namun mereka percaya kesungguhan dan kegigihan akan membawa Feez Food Industries bersaing dengan perusahaan makanan ringan lain di kawasan itu.


Atas usaha dan galakan daripada abang sepupunya, Hafez Shuriddin, mereka yakin mampu meletakkan Feez Food Industries sebagai pengedar makanan ringan utama di daerah Kuala Langat dan Lembah Klang. “Abang Hafez banyak membantu dan memberi nasihat untuk pastikan produk berkualiti dapat diterima pelanggan. “Beliau juga seorang ahli perniagaan berjaya pada usia muda, membimbing kami dalam urusan seharian menguruskan syarikat dan meneroka pasaran baru,” katanya.


Menurutnya, Feez Food Industries turut menjual satar dan keropok lekor, jeli dan kuih tradisional. Walaupun menghadapi saingan sengit dengan pengusaha makanan ringan lain, Mohammad Fiqri menerima cabaran tersebut sebagai persaingan sihat.


“Memulakan operasi perniagaan di kawasan Banting yang juga merupakan lubuk utama industri makanan ringan memerlukan semangat dan kesungguhan yang tegar. “Ini kerana kami sentiasa berdepan dengan persaingan yang dekat dalam memastikan setiap produk dikeluarkan dengan berkualiti, di samping peningkatan kuantiti. Paling penting, kepuasan pelanggan sentiasa dijaga. “Memilih untuk menjadikan kerepek pisang tanduk sebagai teras utama dalam keluaran syarikat di samping tidak mengetepikan keluaran kebanyakannya seperti kerepek ubi kayu dalam pelbagai perasa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.


Menurutnya, mereka memulakan perniagaan tanpa mendapatkan bantuan daripada mana-mana institusi kewangan kerana serik berhadapan dengan karenah birokrasi.


Katanya, permintaan akan sentiasa bertambah pada musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. “Kami akan memanjangkan masa operasi yang biasanya dari jam 8 pagi hingga 6 petang kepada 10 malam berikutan kepada permintaan yang tinggi.


“Buruh daripada kalangan penduduk tempatan terpaksa ditambah di bahagian pembungkusan dan operasi bagi menampung permintaan yang tinggi dan mendadak,” katanya. Ditanya mengenai penggunaan buruh tempatan, beliau memberitahu pemilihan ini berikutan menaikkan tahap ekonomi masyarakat kampung sendiri dengan berpegang kepada pesan bapanya: Jangan dilupakan penduduk sekitar jika sudah berjaya.


“Berpegang kepada pesanan bapa itulah saya lebih senang menggunakan buruh tempatan di samping berbakti kepada kampung halaman sendiri. “Buruh tempatan lebih mudah berinteraksi berbanding tenaga luar, dan komunikasi lebih berkesan dalam membincangkan sesuatu idea dan masalah. Mereka juga telah mahir dan terlatih sesuai dengan industri kami jalankan hari ini,” katanya.


Buat masa ini, Feez Food Industries memberikan tumpuan pasaran ke seluruh pasar raya dan kedai di seluruh Banting sebelum melebarkan pasaran seluruh Lembah Klang. “Kami juga sedang menambah baik keluaran termasuk pembungkusan dan penjenamaan agar produk kami dapat dipasarkan ke luar negara kelak. “Pendekatan bekerja bersama-sama bukanlah pekerja dan majikan adalah kunci kami yang agak muda ini menguruskan pekerja yang kebanyakannya lebih berusia. "Ini yang dijadikan pedoman agar dihormati dan memudahkan operasi pengeluaran," katanya.


Sebagai Pegawai Operasi Feez Food Industries, Mahalil pula berkata, tempahan untuk musim perayaan juga sudah boleh dilakukan segera bagi mengelakkan kelewatan penghantaran. “Amalan yang dilakukan ini menyebabkan keluaran syarikat menjadi lebih kualiti apabila pekerja rasa senang bekerja dengan kita," katanya.


Menyifatkan perniagaannya masih hijau kerana baru beroperasi secara serius, Mahalil mahu meletakkan Feez Food Industries sebaris dengan jenama produk yang telah popular. “Jenama popular mungkin laris dan dikenali kerana pelaburan mereka dalam iklan, namun saya bertekad, tanpa iklan pun produk di bawah label Feez Food Industriess pun memikat selera masyarakat.


"Kami bersaing secara sihat tetapi untuk lebih menonjol, produk yang dipasarkan mestilah berkualiti tinggi," katanya yang boleh dihubungi menerusi talian 0133131871/ 0192606009

2 comments:

  1. erm....bagus2.tahniah buat Mahalil Shuriddin dan Mohammad Fiqri Jalaluddin.bukan senang umur muda boleh menjalankan perniagaan seperti ni.tahniah gak wat Hafez Shuriddin kerana memberi galakan.Kita perlu tahu bahawa utk menjalankan perniagaan seperti ini memerlukan sokongan dari byk pihak.
    HA.....KAK YULIE PE LAGI JADILAH EKSEKUTIF PEMASARAN KAT UiTMJB NI...NAK GAK BELI KEREPEK FEEZ FOOD INDUSTRIES....ERM BUKAN SETAKAT KAT LEMBAH KLANG.MYBE, KAT HUJUNG SELATAN TANAH AIR....AMCAM?

    ReplyDelete
  2. hehehhee...terima kasih...betul tu, semoga dgn sume sokongan yg ade, segala usaha pasti jaya...

    hahahaa...lepas ni kuar plak citer, aku si tokey kerepek,hahahha....

    ReplyDelete